Billion Dollar Whale tidak akan prejudis perbicaraan Najib, kata penulis
Iklan
BUKU “Billion Dollar Whale” yang berkaitan dakwaan pembabitan ahli perniagaan Low Taek Jho dalam skandal 1Malaysia Development Berhad, tidak akan menghukum bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraannya, kata salah seorang penulisnya.
Dalam temu bual dengan stesen radio BFM, penulis buku berkenaan Tom Wright menolak soalan yang ditujukan oleh pendengar yang bertanya sekiranya buku itu akan prejudis terhadap perbicaraan Najib.
“Adakah ia akan prejudis perbicaraannya? Saya rasa tidak. Hakim yang membuat keputusan terhadap kes itu,” kata Tom Wright.
“Kewartawanan yang baik adalah menulis berdasarkan bukti, ia mengenai melaporkan dan terdapat idea bahawa peguam Jho Low menyatakan kami prejudis terhadap perbicaraan dengan laporan kami. Itu bukan cara demokrasi berfungsi.”
Wartawan Wall Street Journal itu juga percaya hakim akan membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana laporan berita yang timbul berhubung skandal itu.
Tom menulis buku itu bersama rakannya Bradley Hope. Mereka merupakan individu di sebalik pendedahan skandal 1MDB dan tugas mereka dicatat daam buku yang diterbitkan minggu lalu di seluruh dunia.
Buku itu diterbitkan di Malaysia seminggu lebih awal. Ia habis dijual di beberapa kedai buku pada hari pertama.
Tom menyifatkan buku berkenaan sebagai “triler jenayah”, dan menambah ia merupakan cubaan untuk menceritakan tentang kapitalimes abad ke 21 yang berlaku dalam negara.
Najib berdepan 32 pertuduhan pengubahan wang haram, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa membabitkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International.
Minggu lalu, bekas perdana menteri itu didakwa atas 25 tuduhan - empat tuduhan penyelewengan di bawah Akta SPRM dan 21 tuduhan di bawah undang-undang pengubahan wang haram.
Empat pertuduhan adalah kerana pemindaan wang AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke akaun peribadi Najib pada Mac 2013.
Susulan daripada empat pendakwaan itu, Najib turut didakwa atas sembilan tuduhan menerima hasil haram, tujuh tuduhan memindahkan hasil haram ke entiti lain dan lima tuduhan kerana menggunakan hasil haram. – 25 September, 2018