Rosmah pintu masuk Jho Low ke Putrajaya, kata penulis
Iklan
ROSMAH Mansor didakwa menjadi titik mulanya bagaimana Low Taek Jho terlibat dengan Putrajaya di bawah pentadbiran Najib Razak, kata penulis buku “Billion Dollar Whale”, Tom Wright.
Ketika ditemubual radio BFM hari ini, Wright berkata isteri bekas perdana menteri itu didakwa menjadi penghubung antara ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu dengan Najib.
Hubungan ini juga kata Wright dibuat menerusi anak Rosmah dari perkahwinan terdahulu, iaitu Riza Aziz.
“Jadi, Rosmah ini penting kerana saya percaya beliau bantu Jho Low menyusup dalam pentadbiran kerajaan di Malaysia,” katanya yang merujuk kepada Low.
Wright juga berkata Rosmah didakwa mendapat habuan kerana membantu Low menjalinkan hubungan ini.
“Secara tiba-tiba beliau terima beratus juta dolar dalam bentuk barang kemas dan aset lain melalui hubungan ini,” tambah beliau apabila ditanya mengenai peranan Rosmah dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Wright menulis buku itu bersama rakannya Bradley Hope. Mereka merupakan individu di sebalik pendedahan skandal 1MDB dan tugas mereka dicatat daam buku yang diterbitkan minggu lalu di seluruh dunia.
Buku itu diterbitkan di Malaysia seminggu lebih awal. Ia habis dijual di beberapa kedai buku pada hari pertama.
Semalam, dilaporkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Rosmah sudah siap dan telah diserahkan kepada peguam negara.
Rosmah sebelum ini dilaporkan bakal berdepan lebih daripada 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya berkaitan pengubahan wang haram.
Pada Jun, Rosmah dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk disoal siasat dan suruhanjaya itu tidak menolak kemungkinan beliau akan didakwa tidak lama lagi. – 25 September, 2018.