Iklan

Masih terlalu awal untuk gembira, peguam Muslim tunggu cadangan RUU baharu esok

Amin Iskandar7 years ago7th Aug 2017Berita
Iklan

PEGUAM Muslim mengalu-alukan tindakan Putrajaya menarik balik cadangan pindaan ke atas Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 hari ini yang menghalang penukaran agama sepihak terhadap anak di bawah umur 18 tahun dan akan mengemukakan cadangan pindaan baharu esok.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Zainul Rijal Abu Bakar bagaimanapun berkata, mereka masih menunggu cadangan pindaan baharu itu esok sebelum dapat memberikan komen lanjut.

“Masih terlalu awal untuk bergembira atas berita ini dan selain daripada seksyen 88A tersebut, kita tidak tahu apa yang akan dikemukakan esok,” kata Zainul kepada The Malaysian Insight.

Sejak dari awal kita sudahpun menyatakan seksyen 88A adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini lawan Saravanan.”

Penarikan balik cadangan pindaan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang pindaan itu dibacakan untuk kali pertama di Dewan Rakyat pada November tahun lalu.

Azalina berkata pindaan itu dibuat agar tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Putrajaya akan membentangkan cadangan pindaan yang baharu esok.

Zainul memberitahu The Malaysian Insight, PPMM masih perlu mengkaji RUU baharu yang akan dikemukakan esok dan melihat apakah yang bakal dibentangkan. – 7 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan