Dunia lebih aman kalau hak Palestin dikembalikan, kata PM
Iklan
DUNIA akan jadi lebih sejahtera tanpa keganasan kalau dunia mengembalikan hak Palestin yang ditindas Israel, kata Dr Mahathir Mohamad.
Dunia juga akan lebih aman sekiranya keganasan tidak ditangani dengan perang, sebaliknya dengan memenangi hati dan jiwa mereka yang terlibat, tambahnya.
“Perang melawan keganasan sekarang tidak akan tuntas sehingga puncanya dikenal pasti dan dihapuskan sementara hati dan jiwa rakyat dipikat,” katanya, dalam ucapan pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, malam tadi.
Ini adalah penampilan pertama Dr Mahathir di pentas UNGA sejak 2003, dan ucapannya kepada pemimpin dunia malam tadi mengimbau semula ucapan dasar luarnya yang terakhir yang mengecam rejim Zionis.
Menjelang persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir membangkitkan kemarahan Israel dan sekutunya apabila menegaskan Yahudi memerintah dunia secara proksi.
Beliau juga mengingatkan penindasan terhadap Yahudi semasa Perang Dunia Kedua bukan alasan untuk dunia mengambil tanah Arab di Palestin untuk ditegakkan negara Israel – tema yang sekali lagi menjadi inti pati utama ucapannya di UNGA malam tadi.
Dalam ucapannya malam tadi, Dr Mahathir berkata kemarahan rakyat Palestin dan penyokongnya melihat penindasan yang berlaku sejak 70 lalu menyebabkan mereka memilih jalan keganasan, setelah tidak dapat melawannya dengan perang yang konvensional.
Tetapi tidak adil untuk mengatakan hanya Palestin yang melakukan keganasan kerana tindak balas Israel terhadapnya juga adalah satu keganasan, tegas Dr Mahathir.
“Dunia (malah) memberi ganjaran kepada Israel dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, (sekali gus) dengan sengaja memprovokasi Palestin,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan Washington mengiktiraf kota suci tiga agama itu sebagai ibu negara Israel dan memindahkan pejabat kedutaannya ke Baitulmaqdis.
Langkah itu diikuti banyak negara lain tetapi dikecam oleh Palestin dan pendukungnya kerana mengetepikan penyelesaian konflik melalui pengiktirafan dua negara.
Dalam ucapannya malam tadi, Dr Mahathir yang jadi aktivis anti perang selepas persaraannya pada 2003, turut menyampaikan pesan keamanan untuk dunia.
“Ada yang salah dengan cara kita berfikir, (ada yang salah) dengan sistem nilai kita.
“Bunuh seorang dianggap pembunuhan; bunuh sejuta orang, anda dianggap wira.
“Kita masih percaya konflik antara negara boleh diselesaikan dengan perang,” katanya, dan menambah perang akan menghancurkan dunia.
Dr Mahathir mengingatkan pemimpin dunia dana yang besar yang diperuntukkan untuk membeli senjata lebih baik digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan manusia.
Perdana menteri turut menyinggung bagaimana keadaan tidak berubah jadi baik sejak ucapannya di pentas yang sama 15 tahun dulu, malah keadaan kini lebih teruk. – 29 September, 2018.