Iklan

Bersatu selamatkan Malaysia, Umno selamatkan kleptokrat, kata Mukhriz

Iklan

BERSATU tiada kemampuan mengamalkan politik naungan kerana ia bukan berada dalam kerajaan, kata timbalan presidennya Mukhriz Mahathir.

Tetapi kalau ia boleh melakukannya sekali pun, sistem naungan itu adalah sesuatu yang akan diubah bagi memastikan wujud peluang yang sama rata untuk semua orang, jelas bekas menteri besar Kedah itu.

Atas sebab itu, Bersatu tidak boleh menjadi Umno 2.0, katanya kepada dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau menjawab soalan bagaimana parti baharu yang diketuai ayahnya yang juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, berbeza berbanding Umno.

Dr Mahathir menjadi presiden Umno selama 22 tahun beliau memimpin kerajaan Malaysia. Mukhriz pula pernah jadi anggota Majlis Tertinggi Umno semasa memegang jawatan menteri besar Kedah.

Selepas lantang mengkritik Perdana Menteri Najib Razak, si ayah mengumumkan keluar Umno pada akhir Februari tahun lalu. Empat bulan kemudian, si anak pula dipecat Umno bersama bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin kerana sepentas dengan pembangkang menentang kerajaan.

Mereka kemudian menubuhkan Bersatu yang kini membentuk gabungan bersama PKR, DAP dan Amanah, dengan nama Pakatan Harapan (PH).

Walaupun parti baharu, Bersatu berjaya menarik pengikut yang besar terutamanya di Kedah, Johor dan Melaka. Dr Mahathir dan Mukhriz dari Kedah; Muhyiddin asal Johor.

Tetapi ada kebimbangan di kalangan pengkritik yang parti baharu itu terpalit beban sejarah dipikul bekas tokoh Umno itu, di mana Bersatu akan menjadi tidak ubah seperti Umno yang kuat dan berkuasa kerana naungan politik.

“Kita tiada kemampuan untuk jadi semacam itu. Sistem naungan dalam Umno bermakna pemimpin akan selalu mengambil berat anak buahnya dalam semua perkara, baik mereka memerlukan wang atau bantuan untuk anak masuk universiti dan hal seperti itu. Kita tidak ada itu,” kata Mukhriz dalam wawancara di pejabat Bersatu di Alor Star pada Jumaat.

Pada pertemuan itu, Mukhriz juga bercakap tentang pilihan raya umum akan datang dan bersikap diplomatik apabila ditanya di mana Bersatu mahu mendirikan kubu kuatnya.

“Kita berminat dengan Kedah. Tetapi kita perlukan persetujuan daripada tiga parti lain,” katanya.

Berikut petikan wawancara tersebut.

TMI: Apa peranan anda dalam Bersatu?

Mukhriz: Kebanyakannya “groundwork” dan kerja di belakang tabir. Saya pengarah pilihan raya Bersatu. Kami cuba untuk menubuhkan jentera pilihan raya di semua negeri dan bahagian. Datang daripada Umno, (saya tahu) mereka ada jentera yang terbaik. Wanita Umno tulang belakang mereka, terutamanya apabila sampai pilihan raya. PAS kurang sedikit berbanding Umno.

Dan kita lihat pencapaian pembangkang. Mereka berjaya biarpun bukanlah mudah. (Mereka dapat) 52% undi popular (dalam PRU13) tetapi itu masih tidak mencukupi untuk menang.

Jadi kita fikir formula untuk menang ialah dengan jentera yang lebih kukuh. Saya diberikan mandat untuk menubuhkannya bagi Bersatu dan kita sudah mula bekerjasama dengan tiga parti lain dalam PH. Kita harap akan dapat menyelaraskannya dalam pilihan raya akan datang dan melakukan segala upaya bagi memastikan pengundi keluar mengundi.

Kami tidak mahu serah pada nasib dan sentimen. Kami perlu lebih teratur.

TMI: Negeri mana Bersatu paling kuat?

Mukhriz: Paling ketara Kedah dan Johor. Tetapi apa yang mengejutkan kami ialah Melaka. Setiap kali kita ada di sana, sokongan terbuka itu sangat mengujakan. Bukan hanya apabila Dr Mahathir ada tetapi kalau saya atau Muhyiddin pun, orang datang terutama pada malam hari.

TMI: Panel diskusi di Sinar Harian baru-baru ini menyebut 55% ahli Bersatu anak muda tetapi ia dipimpin orang tua. Apa faktor penariknya?

Mukhriz: Dr Mahathir pengerusi dan beliau seorang saja sudah menaikkan purata umur dalam parti. Tetapi sebenarnya apabila kami bercakap dengan anak-anak muda yang tiada pada waktu beliau atau sekurang-kurangnya pada penghujung karier beliau, mereka begitu menghormati (Dr Mahathir). Apabila kami bercakap dengan mereka, mereka kata Dr Mahathir memberikan mereka inspirasi untuk jadi sebahagian daripada gerakan ini.

Mereka tidak lihat kami sebagai hanya sebuah parti politik tetapi juga sebuah gerakan.

Kami datang daripada kerajaan. Itu satu perbezaan yang jelas antara kami dengan parti lain. Kami datang dari perspektif lain. Kami tiada mentaliti pembangkang semata-mata.

Gabungan kami dan mereka ini memberikan kekuatan. Pengalaman dalam kerajaan membantu pembangkang dengan kredibiliti yang kami juga boleh mentadbir dan ada rekod prestasi sangat baik dalam urus tadbir. Ia memberikan keyakinan kepada rakyat yang kami bukan sekadar mengucapkan retorik tetapi sesuatu yang lahir betul-betul daripada keputusan dibuat oleh para pemimpin kami.

Anak-anak muda berkata semasa zaman Dr Mahathir kita tiada masalah ini—gaji ibu bapa mereka tidak tinggi tetapi kos sara hidup rendah dan cukup belanja. Mereka tidak susah hendak ada duit lebih untuk dibelanjakan. Mereka ingat itu.

Dr Mahathir ada cara sendiri apabila bercakap dengan anak muda. Beliau datang dari zaman lain tetapi ada daya tarikan. Mereka boleh tanya apa saja soalan kepadanya dan Dr Mahathir akan memberi jawapan yang memuaskan hati mereka.

TMI: Apakah Bersatu ada DNA naungan seperti Umno?

Mukhriz: Tiada, kerana kita tidak ada kemampuan untuk jadi seperti itu. Sistem naungan dalam Umno bermakna pemimpin akan selalu mengambil berat anak buahnya dalam semua perkara, baik mereka memerlukan wang atau bantuan untuk anak masuk universiti dan hal seperti itu.

Kita tidak ada. Kita bukan dalam kerajaan. Kalau kita nanti dalam kerajaan pun kita perlu mengubah sistem itu supaya ia adil kepada semua orang. Ini sesuatu yang kami akan bawa dalam agenda reformasi bersama kerajaan baru.

Jadi, tidak betul kalau kata Bersatu juga mengamalkan politik naungan seperti Umno.

TMI: Apakah ada usaha yang jelas untuk memastikan Bersatu tidak menjadi seperti Umno?

Mukhriz: Dalam ucapan dasar presidennya ketika Perhimpunan Agung Umno pada 1996, Dr Mahathir menyuarakan beberapa kebimbangan yang Umno sedang berubah daripada sebuah parti yang (pada suatu masa) ahlinya terdiri daripada guru-guru, kepada sebuah parti yang ada ramai ahli perniagaan.

Dan tidak ada orang faham apa yang beliau maksudkan pada masa itu. Sesetengah orang berkata: “Apa yang salahnya? Itu lambang kemajuan…” Tetapi sekarang kita nampak masalahnya.

Apabila bisnes masuk ke dalam politik, keadaan jadi huru-hara dan sekarang guru-guru yang pernah jadi orang kuat Umno kini menjauhkan Umno. Mereka tidak boleh membayangkan diri sebagai ahli Umno. Mereka lebih cenderung kepada pembangkang, dan harap-harapnya kami.

Beliau (Dr Mahathir) nampak lebih ramai orang korporat masuk Umno dan meramalkan akan jadi masalah. Jadi saya tidak nampak ini berlaku dalam Bersatu. Kami faham mesej jelas yang disuarakan rakyat dalam pilihan raya dan tidak akan mengulangi semua kesilapan Umno.

TMI: Bolehkah Bersatu bertahan tanpa Dr Mahathir?

Mukhriz: Terpaksalah.

Beliau cakap kepada kepada kami tentang ini setiap masa yang ini bukan tentang dirinya atau kami, tetapi setiap seorang daripada kami secara kolektif dan tentang perjuangan. Perjuangan itulah satu-satunya persamaan dengan Umno kerana kami juga berpegang kuat kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi kita lihat Umno sudah membuangnya. Mereka gunakan itu sebagai semboyan tetapi bukan itu yang mereka maksudkan.

TMI: Negeri mana sasaran Bersatu?

Mukhriz: Ada tetapi bukan untuk kami katakan sekarang kerana kami perlu dapatkan persetujuan daripada yang lain tentang keputusan besar ini. Kami sedang berusaha mendapatkan persetujuan itu. Semangat tolak ansur sangat kuat antara empat parti ini. Pada akhirnya kami akan ada barisan calon yang padu bagi setiap satu kerusi (yang akan ditandingi) di Semenanjung. Saya tidak begitu bimbang tentang itu.

Kami agak ke hadapan dalam rundingan—dari negeri ke negeri. Akhirnya nanti, pimpinan atasan (dalam Pakatan Harapan) yang akan memutuskan beberapa kerusi yang sukar, misalnya jika ada dua atau tiga parti yang berkehendakkan kerusi tertentu.

TMI: Adakah Bersatu sedang “mengintai” Kedah?

Mukhriz: Kita berminat dengan Kedah. Tetapi kita perlukan persetujuan daripada tiga parti lain.

TMI: Kenapa anda popular di kalangan anak muda? Adakah kerana bola sepak Kedah?

Mukhriz: Salah satunya sebabnya semasa saya menjadi menteri besar Kedah, saya selalu cuba menarik FDI (pelaburan langsung asing) ke Kedah bagi mencipta lebih banyak peluang kerja. Bukan kerja jenis yang akan bayar RM400 atau RM500 tetapi kerja yang gajinya enam, tujuh ribu ringgit.

Jadi semua usaha itu menarik minat anak-anak muda di Kedah.

Keduanya, saya juga muda walaupun saya tidak nampak muda. Saya 52 tahun sekarang tetapi orang masih panggil saya boboi…hahahaha.

Saya suka berinteraksi dengan anak-anak muda di gelanggang mereka, baik berbasikal, main badminton atau duduk melepak di kedai kopi.

Dan tentunyalah, bola sepak. Itu agenda peribadi saya untuk naikkan maruah bola sepak Kedah yang pada suatu masa dahulu begitu gah. Apabila saya mengambil alih Kedah FA, ia ada isu-isunya dan bagi Kedah, bola sepak sangat dekat di hati. Dan kerana kami pernah mengecapi kejayaan dalam bola sepak, ia menyebabkan mereka lebih dekat dengan saya.

TMI: Apa beza Umno dan Bersatu?

Mukhriz: Satu menyelamatkan negara dan yang satu lagi menyelamatkan seorang kleptokrat.  – 8 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan