[VIDEO] Pertemuan Agong tak bangkitkan isu bentuk kerajaan baru, kata Anwar
Iklan
SOAL pembentukan kerajaan baru tidak berbangkit sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
“Itu soal yang tidak berbangkit sekarang,” katanya kepada media sejurus keluar daripada Istana.
Presiden PKR itu sebaliknya berkata, beliau merayu Sultan Abdullah tidak meneruskan pelaksanaan darurat yang akan diputuskan Agong dibawah kuasa baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kita bincang soal kedudukan dalam negara, keyakinan rakyat, pelabur. Kita minta supaya ada satu perubahan yang baik dan ini perbincangan kita mulakan.
“Saya junjung kasih kerana kesediaan Tuanku mendengar dengan teliti dan memberi nasihat dan titah sewajarnya,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu tiba di Istana Negara sekitar 10.37 pagi tadi dan keluar kira-kira 12.10 tengahari.
Pagi tadi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Agong dan beredar dari Istana beberapa jam kemudian.
Petang ini, pemimpin pembangkang lain yang dijangka menghadap Agong ialah Amanah dan DAP.
Manakala, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pula dijangka menghadap Sultan Abdullah esok. – 9 Jun, 2021.