Advertisement

Kontroversi kejohanan catur, laporan polis jadi pelindung

Low Han Shaun7 years ago2nd May 2017News
Chess epa
Kontroversi pakaian peserta pertandingan catur kini menjadi kes polis. – Gambar EPA, 2 Mei, 2017.
Advertisement

IA sebuah pertandingan catur, yang sejak berzaman-zaman merupakan pertandingan permainan papan untuk para intelektual dan budayawan. Tetapi pertandingan ini berubah daripada kontroversi yang menyentuh kesesuaian pakaian peserta terlibat kepada kes gangguan ke atas pegawai terlibat di ruang siber.

Dan kini, merentasi raja, ratu dan biduk di atas papan 64 kotak hitam putih, Pengarah Pertandingan Kejuaraan Catur Kebangsaan 2017 Sophian Yusof membuat laporan polis mengatakan ada pemegang akaun Facebook memutar belit kejadian yang melibatkan peserta berusia 12 tahun itu.

“Kami percaya yang polis akan menyiasat kejadian ini secara menyeluruh. Dan kami akan mengambil tindakan berdasarkan penemuan siasatan itu,” kata pegawai perhubungan maklumat Persekutuan Catur Malaysia (MFC) Amirul Mohammad kepada The Malaysian Insight.

Katanya lagi, memandangkan pengarah pertandingan membuat laporan polis, persekutuan itu memutuskan untuk menghentikan siasatan dalaman mereka.

Kontroversi itu bermula apabila seorang pelajar perempuan menarik diri daripada Kejuaraan Catur Kebangsaan 2017 selepas dimaklumkan yang pengajur menganggap pakaiannya ketika hari pertandingan tidak “sesuai”.

Amirul juga mengatakan yang Ketua Arbiter Pertandingan Chan Kwai Keong menyerahkan surat penarikan diri gadis tersebut kepada Jawatankuasa Rayuan pertandingan.

Walaupun begitu, jurulatih gadis itu Kaushal Khandar menulis tentang kejadian itu di Facebook pada 27 April dan isu itu merebak kepada kontroversi besar. Sehingga hari ini catatan itu dikongsi sebanyak 2,650 kali.

Walaupun dia mengkritik Sophian melalui akaun Facebooknya sendiri, pengkritik lain kini mula menyebarkan gambar Sophian dan mendesak perletakan jawatan Sophian sebagai pembantu setiausaha MFC.

Amirul juga mengatakan, MFC menyedari yang gambar dan catatan mendesak pengunduran Saiful tersebar dalam Whatsapp dan media sosial lain.

The Malaysian Insight juga menerima maklumat yang jurulatih dan ibu gadis tersebut melantik peguam tetapi perkara ini tidak dapat disahkan kerana kedua-dua pihak enggan menjawab panggilan atau membalas pesanan ringkas. Jurulatih terlibat ialah individu yang mencatat kejadian tersebut di media sosial.

Sophian juga melantik peguam tetapi enggan mengeluarkan kenyataan kerana siasatan masih berlaku.

Menurut MFC pemain berusia 12 tahun itu tidak dipaksa berundur daripada pertandingan itu disebabkan “pakaian tidak bersesuaian” sebaliknya berbuat demikian atas kerelaan sendiri.

Turut dilaporkan yang gadis itu sedang bermain dalam pusingan kedua di pertandingan catur Skolastik Kebangsaan 2017 yang diadakan di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya dari 14-16 April, apabila dia dimaklumkan yang pakaian “tidak sesuai”.

Laporan juga menyebut yang arbiter merasakan skirt yang dipakai gadis tersebut terlalu pendek apabila dia duduk. Selepas pusingannya tamat, dia diminta untuk menukar pakaian lain sebelum pusingan seterusnya bermula keesokkan hari. Pertandingan itu terdiri daripada tujuh pusingan yang diadakan dalam masa tiga hari.

Amirul berkata yang kod pakaian adalah sebahagian daripada peraturan pertandingan catur yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekiranya berlaku pencabulan, walaupun jarang, boleh menyebabkan hilang kelayakan untuk bertanding.

Walaupun tiada kod pakaian khusus dalam pertandingan catur, arbiter atau penganjur mungkin dari semasa ke semasa menasihati pemain mengenai pakaian atau kelakuan mereka. – 2 Mei, 2017.

Advertisement
Advertisement