Advertisement

Saya tidak berada di sana, kata pengarah kejohanan catur

Low Han Shaun7 years ago2nd May 2017News
Lee 8991
Pegawai yang didakwa terlibat dalam kontroversi pakaian peserta kejohanan catur mengeluarkan kenyataan mendakwa dia tidak berada di tempat kejadian.- Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2017.
Advertisement

Pengarah kejohanan catur kebangsaan yang menjadi tumpuan utama kontroversi melibatkan peserta berusia 12 tahun yang menarik diri disebabkan pakaiannya, hari ini menjauhkan dirinya daripada kejadian tersebut, menjelaskan yang dia tidak berada di tempat kejadian sewaktu peristiwa itu berlaku.

Sophian A Yusuf yang merasmikan Kejohanan Catur Skolastik Kebangsaan 2017, mengeluarkan kenyataan setelah mendiamkan dirinya selama ini, berkata yang dia tidak pernah melihat gadis berusia 12 tahun itu dan pakaian yang dipakainya sehinggalah ada pihak lain yang memuat naik gambar dalam media sosial.

“Saya difitnah, tidak pernah sekalipun saya mengeluarkan perkataan ‘menggoda’ sepanjang pertandingan itu,” kata Sophian menjawab kritikan pelbagai pihak yang menghentamnya di media sosial berikutan kejadian tersebut.

Kata Sophian dia berada di belakang dewan apabila ketua arbiter memberitahu gadis itu yang pakaian yang dipakainya tidak bersesuaian

“Saya berada di belakang dewan ketika kejadian berlaku, sedang bercakap dengan pengetua untuk memutuskan samada perlu atau tidak kita membaiki pendingin hawa yang rosak untuk pusingan seterusnya keesokan hari,”.

Ketika dia habis mengucapkan ayat tersebut, lelaki berusia 42 tahun itu mula menangis. Tambahnya lagi, dia menerima ancaman dan kecaman sejak kejadian itu mula tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

“Saya juga seorang ayah dan mempunyai keluarga, adakah awak rasa saya akan melakukan tindakan sebegitu?” katanya dengan suara bergetar, matanya merah kerana menangis.

Sophian berkata yang dia hanya mengetahui penarikan diri gadis tersebut daripada laporan arbiter.

Menurut Sophian, laporan itu menyebut yang dua orang arbiter dan penolong arbiter yang merupakan wanita yang mula-mula menyedari pakaian gadis itu sewaktu pusingan pertama.

“Sewaktu pusingan 1, arbiter, dan penolong arbiter tidak pernah menganggu gadis itu.

“Hanya selepas pusingan pertama pembantu arbiter yang merupakan seorang wanita, menasihati gadis itu untuk menukar pakaiannya untuk pusingan kedua,” katanya lagi.

Apa yang berlaku sewaktu pusingan kedua, pembantu arbiter itu menyedari yang gadis itu tidak menukar pakaiannya.

“Disebabkan pemain tidak menukar pakaian walaupun sudah dinasihati dalam pusingan pertama, pembantu arbiter melaporkan kejadian tersebut kepada ketua arbiter.

“Ketua arbiter kemudiannya mendekati gadis itu sewaktu pusingan kedua dan menasihatinya.”

Kata Sophian lagi laporan arbiter itu terhenti di situ dan dia tidak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku dalam perbualan antara gadis itu dengan ketua arbiter.

“Kerana laporan itu terhenti di situ, tidak wajar saya menjelaskan lebih lanjut kerana saya menunggu ketua arbiter memberikan laporan penuh kepada saya tentang apa yang terjadi ketika itu. Dia kini berada di China untuk seminar,” katanya.

Pada hari kedua, Sophian berkata yang dia menerima panggilan telefon dari ibu gadis yang meminta penjelasan, dan dia membalas yang dia perlu merujuk kepada ketua arbiter terlebih dahulu.

“Ketua arbiter kemudiannya melaporkan kepada saya yang pemain itu secara sukarela menarik diri daripada pertandingan dan menyerahkan surat penarikan diri yang ditandatanganinya.

“Saya juga diberitahu yang dia tidak pernah diancam oleh sesiapa pada bila-bila masa akan dikenakan tindakan displin atau tindakan lain.

“Kerana yakin dengan penjelasan ketua arbiter dan laporan arbiter tentang kejadian itu dan tiadanya rayuan rasmi, saya memutuskan untuk menutup kes itu dan tiada tindakan lanjut diperlukan lagi,” katanya.

Sophian berkata yang dia mempunyai saksi dan bukti untuk menyokong dakwaanya tetapi dia tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana siasatan polis sedang dijalankan. Dia juga berkata yang dia melaporkan ugutan yang diterimanya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sejak kejadian itu tular, gambar dan maklumat peribadi Sophian disebarkan dalam media sosial, sehingga wujud desakan untuk perletakkan jawatannya sebagai setiausaha Persekutuan Catur Malaysia.

Kisah ini juga meraih perhatian media antarabangsa, termasuklah BBC, Washington Post, dan Huffington Post.

Jurulatih dan ibu gadis tersebut masih mendiamkan diri selepas jurulatih terbabit memuatnaik dakwaan terhadap pengarah kejohanan melalui Facebook Jumaat lepas. Panggilan dan pesanan ringkas dari The Malaysian Insight kepada mereka berdua masih tidak menerima sebarang balasan.
 

Jurulatih itu sebelum ini mendesak permohonan maaf dari Sophian dalam masa lima hari bermula catatan itu dimuat naik dalam akaun Facebooknya, tetapi Sophian berkata dia masih belum menerima surat arahan tersebut.

“Saya tidak bercadang mengeluarkan kenyataan maaf kerana sudah diputuskan yang tidak wujud kes untuk tindakan lanjut.”

Menyentuh samada dia akan meletak jawatan dalam Persekutuan Catur Malaysia, katanya satu mesyuarat akan diadakan nanti untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

“Saya akan berbincang dengan semua exco untuk membincangkan tindakan selanjutnya”

Walaupun wujud kesan buruk kepada dirinya disebabkan kes itu, Sophian berdoa hanya perkara baik untuk gadis tersebut.

“Akhir sekali, saya mahu memberitahu semua orang yang walau apapun kesusahan yang berlaku kepada saya dan keluarga disebabkan kejadian ini, saya tidak pernah menyimpan rasa benci kepadanya.

“Saya masih berdoa yang dia akan berjaya dalam semua perkara yang dia lakukan, sepanjang hidup dan kerjaya caturnya,” katanya teresak. – 2 Mei, 2017.

 

 

 

 

 

Advertisement
Advertisement