Advertisement

Semut pun suami saya tak sanggup bunuh

Low Han Shaun7 years ago3rd May 2017News
Turkish ayse gul tmikamal 04
Isteri warga Turki yang ditahan, Ayse Gul Karaman menangis ketika ditemui wartawan dan mempertahankan suaminya tidak mungkin terbabit dengan jenayah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Mei, 2017.
Advertisement

WALAUPUN ia tidaklah begitu menakjubkan, tetapi ia kelihatan seperti babak daripada filem Taken apabila berita tergempar – dua warga Turki diculik.

Berita itu, yang disiarkan di theglobepost.com, lengkap dengan rakaman CCTV menunjukkan beberapa lelaki menolak Turgay Karaman masuk ke dalam sebuah kenderaan sebelum memandu pergi dari kawasan tempat letak kereta di blok pejabat di Damansara Heights pada 4.11 petang pada Selasa.

Tetapi menjelang tengah hari, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata di Twitter yang dua lelaki ditahan kerana terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan Malaysia.

Kejadian itu mengejutkan isterinya Ayse Gul Karaman.

“Tidak. Saya tidak boleh terima yang dia orang berbahaya kerana dia tidak akan sanggup bunuh serangga pun. Kenapa ini berlaku,” kata Ayse ketika ditemui di luar bangunan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian hari ini.

“Selama 14 tahun perkahwinan kami, dia tidak pernah cederakan saya. Tidak pernah tinggikan suara terhadap saya,” kata ibu enam anak itu.

Ketika The Malaysian Insight memberitahu Ayse yang suaminya ditahan polis, wanita berusia 37 tahun warga Turki itu berkata sesiapa yang berfikir suaminya penjenayah tentunya “gila”.

“Di rumah, dia kutip semut satu demi satu dan bebaskan mereka di luar. Dengan lipas pun begitu. Dia tidak guna racun serangga. Dia akan buka pintu atau tingkap supaya mereka keluar,” katanya.

Ayse berkata dia bertemu suaminya di Malaysia, dan sejak itu mereka tinggal di sini.

“Dan enam anak kami lahir dan dibesarkan di sini. jadi ini rumah pertama kami, bukan kedua.

“Kami tidak melihat rakyat Malaysia sebagai asing, tetapi mereka seperti saudara kami,” katanya.

Ayse berkata suaminya tidak ada kaitan kerja di Turki dan datang bekerja di Malaysia sebaik saja tamat pengajian di sana.

“Dia tidak ada apa-apa di Turki. Dia datang ke sini sejurus tamat belajar.

“Ketika itu kami berjumpa. Saya berumur 23 tahun, dia 27 ketika dia datang ke Malaysia,” katanya.

Menurut suri rumah itu, Turgay selalu menghubung ibu bapanya di Turki, malah dia ada bercakap dengan mereka pada pagi sebelum ditahan.

Bagaimanapun, sejak penahanannya, Ayse tidak sampai hati untuk menghubungi ibu bapanya memaklumkan apa yang berlaku.

Ayse berkata suaminya dijadualkan bekerja di Kuala Lumpur tidak lama lagi sebagai pengetua baharu Time International School Kuala Lumpur.

“Dia belum mula bekerja di sekolah itu lagi, tetapi dia akan jadi pengetua di sana.

“Semua orang boleh jadi cikgu, tetapi tidak semua boleh jadi pendidik. Dia besarkan pelajarnya dengan sikap baik untuk jadi orang yang boleh diteladani. Dia orang yang baik,” katanya.

Seorang lagi warga Turki yang ditahan ialah Ihsan Aslan yang juga sudah menetap di Malaysia selama 15 tahun dan berkahwin dengan rakyat Malaysia.

Isterinya memberitahu The Globe Post yang suaminya hilang sejam 8 malam pada Isnin.

Menurut portal itu, rakan dan keluarganya berkata mereka bimbang Turgay dan Ihsan akan diekstradisi ke Turki.

Agensi berita rasmi Turki, Anandolu Agency melaporkan Malaysia menyerahkan tiga ahli Fetullah Terrorist Organisation (FETO) ke Turki.

Turki menuduh FETO, diketuai Fetullah Gulen yang berpangkalan di AS, kerana menganjurkan rampasan kuasa pada 15 Julai dan kempen untuk menyusup masuk ke institusi Turki seperti ketenteraan, polis dan badan kehakiman.

Seramai 241 orang terbunuh dalam rampasan kuasa yang gagal itu, sementara 2,200 lagi cedera. Susulan rampasan itu, kira-kira 70,000 orang termasuk media, ahli akademi, polis dan pegawai tentera ditahan. Penahanan itu termasuk 7,028 pegawai tentera, 2,385 hakim dan 19 gabenor. – 3 Mei, 2017.

Advertisement
Advertisement