Advertisement

Pakatan Harapan namakan pasukan impian mereka

Amin IskandarZulkifli Sulong7 years ago4th May 2017News
Pakatan harapan pc 300417 tmiseth 005
Pakatan Harapan menamakan pimpinan mereka menjelang PRU dengan Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Ismail masing-masing sebagai penasihat dan pengerusi gabungan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Mei, 2017.
Advertisement

PAKATAN Harapan (PH) menamakan pimpinan mereka untuk gabungan itu menjelang pilihan raya umum ke-14 dengan Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Ismail masing-masing sebagai penasihat dan pengerusi gabungan itu.

Dengan menamakan anggota Majlis Presiden ini, gabungan pembangkang kini diyakini akan memenuhi kehendak orang ramai yang tidak mahu melihat pembangkang bertelagah walaupun dalam menentukan barisan kepimpinan mereka.  

Sumber memberitahu The Malaysian Insight senarai keanggotaan Majlis Presiden ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan Ahad lepas dan akan difailkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak lama lagi bersama logo PH.

Dr Mahathir dipilih sebagai penasihat PH, namun tanpa mempunyai kuasa eksekutif.

Perlembagaan PH yang akan difailkan kepada RoS juga akan mempunyai satu klausa khas bagi membolehkan seorang lagi penasihat dilantik yang dipercayai disasarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini dalam penjara.

Di Kota Baru Isnin lepas, Presiden Amanah Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengumumkan PH akan mempunyai dua penasihat iaitu Dr Mahathir dan Anwar.

Selain Wan Azizah yang akan menjadi pengerusi majlis itu,  beliau akan dibantu tiga naib pengerusi iaitu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin, Mat Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mesyuarat juga memilih Ketua Sekretariat PH Saifudin Abdullah sebagai setiausaha agung gabungan itu manakala Naib Presiden DAP M Kulasegaran sebagai bendahari.

Menurut sumber, selain nama di atas setiap parti komponen akan mempunyai tiga wakil dalam Majlis Presiden PH.

PKR akan diwakili Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin Nasution Ismail manakala Bersatu akan diwakili Mukhriz Mahathir, Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr Shahruddin Md Salleh.

Amanah pula diwakili Salahuddin Ayub, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Anuar Tahir manakala Tan Kok Wai, Teresa Kok dan Anthony Loke akan mewakili DAP.

Nama Lim Kit Siang, ketua parlimen DAP tidak ada dalam senarai ini.

Kit Siang selama ini menjadi sasaran blogger pro Umno dan PAS yang cuba membayangkan seolah-olah beliau adalah ketua PH sebenar dan bakal dilantik sebagai perdana menteri jika pembangkang berjaya menguasai Putrajaya. – 4 Mei, 2017.

Advertisement
Advertisement