Adakah mereka akan berkempen untuk pembangkang lagi?
Advertisement
EMPAT tahun lalu, sekumpulan individu pelbagai latar belakang memberikan komitmen penuh kepada parti politik pembangkang untuk membawa wawasan kepada rakyat Malaysia tentang bagaimana sepatutnya politik di negara ini dilaksanakan.
Menerusi ideologi berbeza, PKR, DAP dan PAS bersatu di bawah kain rentang Pakatan Rakyat untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Sepanjang tempoh kempen, mereka melaungkan kepada rakyat Malaysia supaya bersatu, tetapi tiba-tiba dalam perjalanan itu, keadaan berubah apabila PAS memutuskan ikatannya dengan DAP kerana isu hudud di Kelantan.
Walaupun sesetengah ahli kempen terkemuka enggan memberikan pendapat mereka mengenai perkara ini, The Malaysian Insight berjaya bercakap dengan empat rakyat Malaysia yang berkempen untuk pembangkang pada PRU lalu.
Pelawak, pelakon, aktivis pelajar dan aktivis sosial berkongsi pengalaman dan perasaan pasca PRU mengenai politik.
“Selepas melihat politik PAS pasca PRU13, dan keretakan dalam Pakatan Harapan, saya rasa gabungan pembangkang tidak perlu begitu obses terhadap PAS,” kata Sulaiman Ibrahim, juga dikenali sebagai “Leman Raja Lawak”.
“PAS tidak boleh dijangka sikapnya, pemikiran dan tindakannya. PAS juga tidak teguh dalam semua perikatan berbeza yang mereka sertai,” katanya.
Pelawak berusia 35 tahun itu berkata buang masa jika gabungan baharu, Pakatan Harapan hendak cuba dan berunding mengadakan sekutu dengan PAS.
“Pendirian PAS jelas seperti presidennya (Abdul Hadi Awang) tegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan PAS atau mana-mana parti yang bersama DAP. Jadi PAS akan hanya ada masa depan cerah bekerjasama dengan Umno menentang Pakatan Harapan,” katanya.
Aktivis pelajar Adam Adli berkata keadaan sekarang menjadi semakin rumit.
“Keadaan lebih mudah sebelum ini. Semua orang buat yang terbaik untuk menyumbang kepada perubahan yang diharapkan.
“Hari ini, keadaan semakin rumit. Saya mungkin tidak rasa perasaan yang sama lagi, tetapi saya tidak sabar untuk lihat apa akan berlaku pada PRU depan.
“Perpecahan antara pembangkang mungkin mengakhiri harapan yang kita kongsi pada 2013, tetapi lihat secara positif, kita sekarang dapat melihat dinamik baharu dalam politik.
“Dan saya pasti apa juga yang berlaku, ia akan membuka pintu kepada kemungkinan baharu bagi generasi muda,” katanya.
Tetapi pengalaman itu banyak mempengaruhi pelakon Hairie Othman.
“Ada orang suka pada kita. Ada juga yang benci kita. Saya fikir kita tidak boleh tahan dengan persekitaran hipokrit begini, bila ia positif kita tidak terasa sangat. Tetapi bila negatif, keadaan jadi tidak selesa,” katanya.
Pelakon filem Leftenan Adnan itu berkata beliau tidak peduli dengan kritikan di sekelilingnya sebelum ini.
“Jika anda mahu masuk politik, anda kena kuat. Kalau tidak, anda boleh terluka,” kata pelakon berusia 46 tahun itu.
Hairie berkata kenangan terindahnya pada PRU13 ialah perpaduan yang dirasakannya ketika berkempen.
“Memori terindah saya ialah ketika berkempen untuk PAS. Sebelum ini ada banyak yang curiga dengan PAS tetapi ketika berkempen ramai mengibarkan bendera PAS. Ada banyak orang Cina dan India yang berkempen dengan PAS.
“Paling sedih ialah bila PAS putus dengan DAP selepas kematian Nik Aziz Nik Mat,” kata Hairie.
Adam berkata beliau ingat lagi, ketika berkempen dia memandu jauh ke seluruh negara untuk menyertai pelbagai ceramah.
“Nasib baik saya sertai kempen itu, semua tempat yang ada dalam senarai impian saya sudah pun saya lawati di semenanjung Malaysia dengan kereta kecil saya Perodua Kelisa.
“Dan secara jujurnya, kenangan terindah pada PRU13 ialah bila saya menjadi orang pertama ditahan kerana politik selepas PRU13 di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Aktivis sosial Cynthia Gabriel berkata kenangan yang tidak dapat dilupakannya pada PRU13 ialah juga mengembara ke seluruh negara dan melawat ke tempat yang tidak pernah dikunjungi.
“Seronoknya rasanya untuk membina negara dan secara tidak langsung mencetuskan kesedaran mengenai tadbir urus yang baik dan melihat keriuhan rakyat Malaysia bersama dalam harapan untuk negara ini jadi lebih baik,” kata pengarah eksekutif C4 itu.
Tetapi adakah mereka akan berkempen lagi untuk Pakatan Harapan pada PRU akan datang?
“Tidak lagi. Saya tidak mahu berkempen tetapi saya akan mengundi seperti biasa. Sekarang saya mahu fokus kepada seni. Saya berlakon untuk drama 16 episod selepas mendapat kebenaran. Saya akan buat kemunculan semula,” kata Hairie, yang tidak menerima sebarang tawaran berlakon selepas menyertai PAS pada 2013.
“Saya masih lagi mahukan perubahan dan untuk demokrasi Malaysia berkembang menjadi sistem dua parti. Kita mahu memberi pengundi pilihan sebenar dalam memilih calon bertanggungjawab dan parti berintegriti,” kata Cynthia.
Adam berkata beliau mungkin tidak seaktif ketika PRU lalu.
“Saya akan masih membantu beberapa rakan yang saya tahu memang mereka ikhlas dan menyokong perjuangan rakyat, di sebalik politik,” kata Adam.
Platform lama Pakatan Rakyat akhirnya berderai minggu lalu apabila PAS mengakhiri ikatannya dengan PKR. Dan di situ berdirinya podium baharu Pakatan Harapan.
Tetapi adakah rakyat Malaysia akan berani berdiri di situ sekali lagi? – 5 Mei, 2017.