Advertisement

Suami hanya sokong tapi bukan ahli Gulen, kata isteri warga Turki ditahan

Low Han Shaun7 years ago6th May 2017News
Turkish arrested tmi 345
Ayse Gul Karaman memberitahu suaminya menyokong idealogi Gulen, tetapi bukan ahli gerakan Gulen atau Islamic State. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Mei, 2017.
Advertisement

ISTERI Turgay Karaman tampil ke depan memberitahu suaminya bersimpati terhadap gerakan Gulen dan menyokong ideologinya.

Ayse Gul Karaman, 38, berkata suaminya menyokong idealogi Gulen, tetapi bukan ahli gerakan Gulen atau Islamic State (IS).

“Suami saya sukakan idea Gulen yang menyayangi dan penyabar, semua yang sepatutnya dimiliki manusia, jadi apa salahnya dengan idea itu?

“Beliau bukan ahli gerakan Gulen, penyokong atau ahli IS,” kata Ayse kepada pemberita di Publika Shopping Gallery hari ini.

Sejak suaminya “diculik” lima hari lalu, Ayse berkata dinafikan peluang bertemu suaminya, malah peguam juga tidak berjumpa Turgay lagi.

Menurut Ayse, kali terakhir beliau berjumpa suaminya pada 3 Mei semasa beliau dibawa ke rumah bersama polis bagi mendapatkan pasportnya.

“Selepas Mahgrib, ketua polis menelefon saya, supaya tidak bimbang mengenai suami kerana beliau dalam keadaan baik.

“Beliau sangat sopan dan berkata pihak polis hanya menyiasat sama ada suami saya terlibat dengan jenayah atau tidak, tetapi tidak menyebut apa jenayahnya.”

Ayse berkata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar memberitahu pihak polis hanya akan membenarkannya berjumpa suami selepas diberikan “notis”.

“Saya bertanya kepadanya bila boleh melihat suami saya? Beliau berkata selepas seminggu tetapi saya berkata ia terlalu lama dan tidak boleh mempercayainya.

“Saya kemudian bertanya sama ada peguam boleh berjumpa suami. Beliau berkata dalam tempoh 48 jam, tetapi sehingga kini, peguam masih belum bertemunya,” kata Ayse.

Selepas Khalid meletakkan telefon, Ayse berkata beliau menerima panggilan daripada suaminya berkata menunggu di luar dengan polis bagi mendapatkan pasportnya.

“Suami saya berkata beliau menunggu di luar dan mereka (polis) mahukan pasportnya, saya terlalu teruja, saya berlari turun tangga pergi ke luar bertemu suami.

“Polis yang bersamanya berkata mahukan pasport, dan saya memberitahu tidak memilikinya, mereka baik dan meminta saya menghantar seorang peguam esok dengan pasport kepada pihak polis.

“Tetapi apabila peguam saya menyerahkan pasport, beliau dinafikan peluang bertemu suami saya,” katanya.

Ayse juga mengesahkan suaminya bertemu Perdana Menteri Najib sebelum seperti dilaporkan Guardian.

“Memang benar suami saya bertemu perdana menteri sebelum ini, tetapi saya tidak ingat hari kejadian,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya kerajaan Malaysia akan berlaku adil dan melepaskan suaminya tidak lama lagi.

“Saya tidak fikir mereka akan hantar balik suami saya ke Turki, saya percaya mereka tidak akan melakukan ini. Kami sudah tinggal di sini 15 tahun,” katanya.

Pada 4 Mei, polis menahan warga Turki Ismet Ozcelik di Chenor, Pahang, sehari selepas mereka menahan dua warga negara itu, Turgay Karaman dan Ihsan Aslan di Damansara Heights, Selangor kerana didakwa terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan dan keselamatan di negara ini.

Ketua polis negara berkata, ketiga-tiga tangkapan berkaitan dan polis mempunyai sebab mencukupi untuk mengambil tindakan, walaupun enggan mendedahkan aktiviti dijalankan yang membawa kepada penangkapan mereka.

Pada 4 Mei juga, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri berkata Turgay dan Ihsan ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Agensi berita rasmi Turki, Anandolu Agency melaporkan Malaysia mengekstradisi tiga anggota Pertubuhan Pengganas Fetullah (Feto) ke Turki.

Turki menuduh Feto, yang diketuai Fetullah Gulen berpangkalan di Amerika Syarikat, menganjurkan rampasan kuasa pada 15 Julai dan kempen menyusup masuk ke institusi Turki seperti tentera, polis dan badan kehakiman.

Dalam rampasan kuasa yang gagal, 241 orang terbunuh dan 2,200 cedera. Berikutan kejadian itu, kira-kira 70,000 orang termasuk 7,028 anggota tentera, 2,385 hakim dan 19 gabenor ditangkap. – 6 Mei, 2017.

Advertisement
Advertisement