Advertisement

Gaji rendah, gagal urus kewangan punca penjawat awam bergelut hutang

Yasmin Ramlan7 years ago8th May 2017News
Public transport 090115 seth 03
Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan jumlah penjawat awam yang diisytiharkan muflis oleh mahkamah sejak 2013 sehingga 2016 meningkat setiap tahun, menjadikan jumlah kesemuanya 3,276. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2017.
Advertisement

TIADA istilah wang simpanan bagi anggota beruniform, Halim kerana perlu menanggung dua pinjaman peribadi berjumlah RM70,000 termasuk perbelanjaan bulanan dengan gaji hanya RM2,100.

Meskipun sedar tidak mampu, desakan kos sara hidup yang tinggi memaksanya berbuat demikian.

Namun, situasi seperti Halim bukan perkara luar biasa kerana anggaran kasar Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Ceupacs) menunjukkan hampir 100,000 penjawat awam bakal diisytiharkan muflis. Sehingga kini, 3,000 daripada mereka sudahpun muflis.

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan jumlah penjawat awam yang diisytiharkan muflis oleh mahkamah sejak 2013 sehingga 2016 meningkat setiap tahun, menjadikan jumlah kesemuanya 3,276.

Minggu lalu, Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata kakitangan awam peringkat pertengahan dan rendah mengambil jalan keluar dengan membuat pinjaman kerana menyangka ia akan mengimbangi perbelanjaan mereka kerana kadar inflasi yang semakin meningkat.

Azih berkata kepada The Malaysian Insight, meskipun tiada kajian terperinci dilakukan Ceupacs, namun fenomena yang membimbangkan itu dilihat menjadi trend di kalangan penjawat awam meminjam tanpa sistem kawalan yang ketat.

Katanya, selain melakukan pinjaman demi menampung kos sara hidup yang tinggi, ada di antara mereka mengalami masalah menguruskan kewangan dengan baik.

“Kebanyakan mereka gaji kecil tetapi berbelanja lebih daripada kemampuan. Perkara ini benar-benar berlaku. Angka tersebut memastikan beban dihadapi penjawat awam.

“Ia bertujuan agar mereka mengetahuinya lebih awal dan sebagai peringatan untuk orang lain,” katanya.

Pinjaman untuk keperluan

Halim, 29, bapa kepada dua anak berusia lima tahun dan lapan bulan, berkata dia membuat pinjaman peribadi setahun selepas bekerja pada 2010 iaitu sebanyak RM50,000 dengan ansuran bulanan selama 20 tahun untuk perbelanjaan perkahwinan, motosikal, kereta terpakai dan kelengkapan rumah.

Kemudian pada 2013, dia membuat pinjaman lagi sebanyak RM20,000 dengan ansuran bulanan selama 10 tahun bagi isterinya memulakan perniagaan kedai runcit.

Jumlah ansuran bulanan bagi kedua-dua pinjaman ini RM600 sebulan.

Pada 2015, dia membuat pinjaman perumahan sebanyak RM198,000 yang memaksanya membayar RM985 sebulan selama 30 tahun.

Katanya, pinjaman perumahan tersebut sudah melebihi 60% gajinya.

“Bank meluluskan pinjaman peribadi walaupun kedua-duanya daripada bank yang sama kerana sebelum ini saya tidak mempunyai rekod hutang.

“Jumlah pinjaman RM70,000 belum melebihi had gaji tetapi bila membeli rumah, barulah gaji saya melebihi 60%.

“Saya tidak mempunyai masalah membeli rumah kerana pinjaman rumah menggunakan pinjaman perumahan kerajaan tetapi tidak lepas jika mahu beli kereta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Setelah pemotongan pinjaman bank, gajinya hanya tinggal sekitar RM500 untuk barangan dapur, manakala bayaran bil serta perbelanjaan lain ditanggung isterinya dengan pendapatan kedai runcit.

Katanya, dia terpaksa berhutang dengan jumlah banyak disebabkan kos sara hidup dan kos perumahan yang tinggi meskipun di luar bandar.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan sekatan bayaran potongan gaji sehingga maksimum 60% ekoran kebimbangan peningkatan bebanan hutang di kalangan penjawat awam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said, ia diharap dapat membantu golongan itu menguruskan hal ehwal kewangan peribadi dengan lebih teratur dan terhindar daripada terjebak masalah hutang yang serius.

Tiada simpanan

Kaji selidik Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan tiga daripada empat rakyat Malaysia tiada simpanan RM1,000 untuk kecemasan.

Begitu juga bagi pembantu jururawat, Malissa yang terpaksa menerima realiti terpaksa menanggung bebanan hutang RM20,000 selama 10 tahun sejak 2011.

Malissa, 32, yang merupakan ibu tunggal berkata dia terpaksa membuat pinjaman peribadi itu bagi membeli kelengkapan rumah selepas dipindahkan dari Perak ke Kuala Lumpur bersama suami serta menyimpan lebihan wang tersebut sebagai simpanan kecemasan.

Katanya, dengan gaji bulanan sekitar RM2,400 termasuk elaun, kadang-kala tiada simpanan selepas semua perbelanjaan.

Setiap bulan dia membayar RM450 untuk ansuran kereta; RM300 sewa rumah; RM700 untuk belanja dapur dan makan; RM400 kiriman wang kepada ibu di kampung; RM200 belanja tiga anaknya; dan RM350 untuk pinjaman.

Dia cuba mencari pendapatan tambahan dengan berniaga mangga asamboi atas talian (dropship) secara kecil-kecilan bagi menampung kos hidupnya serba sedikit.

“Lepas saya terbaca berita dari Ceupacs itu, saya jadi takut dan bimbang. Saya fikir tidak boleh teruskan hidup di bandar dengan harga barang yang mahal dan bimbang kemungkinan melakukan pinjaman peribadi lagi jika terdesak memerlukan duit.

“Memang saya menyesal membuat pinjaman peribadi pada mulanya kerana sekarang saya menanggungnya seorang terutama dengan gaji yang kecil tetapi ia jalan penyelesaian terbaik yang saya lihat.

“Walaupun saya layak untuk membuat pinjaman lagi kerana belum mencapai 60% tetapi sebenarnya saya tidak mampu kerana sangat membebankan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kini, dia terpaksa memohon ditukarkan semula di Perak selepas tidak mampu menanggung kos sara hidup di ibu kota dan bayaran pinjaman peribadi sendiri selepas bercerai.

Pengurus besar operasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Nor Fazleen Zakaria dalam satu kenyataan, menyeru orang ramai termasuk penjawat awam mendapatkan perkhidmatan agensi tersebut bagi merancang kewangan secara bijak.

Ini kerana, sejak 2006 sehingga Mac 2017, lebih 554,011 pelanggan mendapatkan perkhidmatan kaunseling agensi itu di mana 178,845 dibantu melalui program pengurusan kredit (PPK).

Daripada jumlah 178,845 tersebut, kira-kira 50% daripada mereka mengakui bermasalah dalam merancang pengurusan kewangan mereka. – 8 Mei, 2017.

Advertisement
Advertisement