Warga Felda bimbang nasib makin terjejas jika ‘syarikat asing’ kuasai FGV
Advertisement
KHABAR tentang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) dan kemungkinan munculnya “syarikat asing” sebagai pemegang saham baharu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membimbangkan warganya.
Rata-rata yang ditemui The Malaysian Insight khuatir sekiranya saham dan pengurusan FGV diambil alih ahli perniagaan Indonesia, nasib peneroka serta warga Felda akan semakin terjejas.
Abdul Rahman Ramli, 57, dari Felda Raja Alias di Jempol, Negeri Sembilan berkata, langkah ini sudah pasti akan memberikan kesan langsung kepada peneroka terutama dari segi keuntungan dan kerugian hasil.
“Hasil ladang atau buah tandan baik (BTB) dihantar ke kilang sawit Felda. Kilang tersebut sekarang sudah beralih tangan daripada milik Felda kepada kilang sawit milik FGV.
“Jika ini berlaku, mereka (ahli perniagaan Indonesia) akan menguasai hasil jualan, penentuan harga dan sebagainya mengikut keperluan dan keuntungan mereka,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Felda terbuka kepada idea untuk menyelesaikan LLA dan mendapatkan semula tanah yang kini dipajak dan diuruskan FGV dalam usaha memperoleh pulangan lebih tinggi dan kemungkinan munculnya pemegang saham baharu.
Pemegang saham baharu dikatakan ahli perniagaan Indonesia, Martua Sitorus, pengasas bersama Wilmar International Ltd, melalui suntikan aset ke dalam FGV sebagai balasan untuk saham dan penguasaan pengurusan.
Kepentingan Felda dalam FGV kira-kira 34% dan syarikat senaraian awam itu menguruskan kira-kira 335,000 hektar daripada 850,000 hektar tanah mereka.
“Mengapa nak jual saham FGV kepada ahli perniagaan Indonesia? Mengapa perlu berkongsi Felda dengan Indonesia pula?” soal Abdul Karim Masri, 48, yang sudah menetap di Felda Sungai Tengi di Hulu Selangor, Selangor selama 45 tahun.
“Sudah pasti ini akan mendatangkan masalah kepada peneroka Felda. Peneroka kini hidup dengan banyak hutang. Selama ini Felda sudah bagus. Semenjak wujudnya Felda Technoplant dan FGV, kehidupan orang Felda semakin teruk.”
Peneroka tanggung beban
Felda Technoplant Sdn Bhd adalah anak syarikat Felda – ditubuhkan pada 2005 untuk menguruskan kebun peneroka yang sudah mengeluarkan hasil dan tanaman semula.
Samsudin Ishak, 49, dari Felda Sungai Tengi berkata, sebarang kesilapan dilakukan warga asing yang menguruskan FGV, peneroka juga bakal menanggung beban.
“Saya rasa Felda ini seolah-olah mahu ‘cover’ balik duit yang sudah hilang.
“Sekarang ini peneroka sudah berhutang banyak. Dengan keadaan ekonomi yang teruk dan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST), keperitan hidup makin terasa bagi warga Felda,” katanya.
Bernama melaporkan baru-baru ini, Felda perlu membayar minimum RM3 bilion kepada FGV dan memberi notis 11 bulan jika mahu menamatkan LLA.
Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Zakaria Arshad berkata disebabkan masalah sebenar yang mencetuskan pilihan LLA adalah berkaitan aliran tunai Felda, kedua-dua pihak perlu berbincang lagi bagi menangani perkara itu.
Menurut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, beliau sejak awal sudah menyatakan kebimbangan tentang bagaimana kepentingan Felda dapat dipertahankan sejak FGV mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012.
“Sebelum ini keluar khabar angin dari China, Eropah disebut hendak membeli kepentingan FGV. Paling terkini, daripada syarikat Indonesia.
“Jika ia benar terjadi, saya fikir semua syarikat asing ini akan membeli saham dalam jumlah yang banyak. Kebimbangan saya ialah jika mereka membeli kepentingan dalam FGV secara majoriti,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Mazlan berkata jika ia terjadi, mereka akan menguasai FGV dan kepentingan Felda akan hilang.
“Apa yang tinggal kepada Felda? Sedangkan sebelum ini Felda memiliki 34% saham FGV.
“Mungkin Felda akan menarik pegangan mereka, mungkin ditinggalkan sekitar 10-15% pegangan saham sahaja. Sebab mereka fikir, mengapa perlu melabur dalam FGV jika tidak menguntungkan?” katanya.
Tutup sahaja FGV
Bagi Shamsuddin Salleh, 46, yang sudah menetap selama 45 tahun di Felda Sungai Tengi, Felda seharusnya kembali kepada cara asal dan tidak lagi terlibat dengan perniagaan tidak menguntungkan.
“Tutup sahaja FGV. Mengapa hendak sangat pertahankan FGV?
“Dahulu sebelum ada FGV, Felda untung berbilion ringgit setiap tahun. Jalan terbaik ialah kembalikan Felda kepada cara asal,” katanya.
Terdapat 54 kerusi Parlimen berada di dalam kawasan Felda dan parti pembangkang sedang giat menjelajah ke semua kawasan tersebut dalam usaha memenangi undi bagi menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pula mahu warga Felda menyokong Barisan Nasional (BN) dan menggembalikan enam kerusi Parlimen yang terlepas kepada pembangkang pada PRU13.
Enam kerusi tersebut adalah Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput. – 8 Mei, 2017.