Kepentingan peneroka Felda terjaga, kata pengerusi
Advertisement
Peneroka Felda akan mengekalkan kedudukan mereka walaupun sekiranya syarikat asing membeli pegangan dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), kata Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad.
Tetapi, kata Shahrir lagi, perbincangan tentang Felda menamatkan perjanjian pajakan tanah dan penjualan saham kepada syarikat asing itu masih belum dimuktamadkan.
“Hubungan antara Felda dan penerokanya kekal tidak akan berubah. Menerusi Akta Pembangunan Tanah 1956, dan Akta Penempatan Berkelompok 1960, kedudukan peneroka akan terus dikekalkan.
“Semua ini hanyalah pilihan yang kita ada. Tetapi masih tidak ada keputusan. Semua hanyalah laporan media,” kata Ahli Parlimen Johor Baru itu ketika ditemui di Putrajaya hari ini.
Berita itu meresahkan peneroka Felda. Mereka memberitahu The Malaysian Insight baru-baru ini yang pengambilalihan saham FGV dan pengurusan oleh ahli perniagaan Indonesia itu akan memberi kesan buruk kepada kepentingan mereka.
Shahrir berkata hampir 85% peneroka Felda sudah diberikan surat hak milik tanah mereka.
“Tanah itu kekal milik mereka. Ia tidak akan dipindahkan ke mana-mana. Hasil keluaran ladang mereka menjadi milik mereka 100%. Tiada perubahan dalam perkara itu,” katanya.
Shahrir berkata apa sahaja tindakan Felda ialah bagi memastikan kelangsungan organisasi itu, menambah yang kedudukan kewangan dan pentadbiran Felda akan menjadi keutamaan.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan kebimbangan peneroka yang syarikat asing itu akan mengambil alih kawalan dalam jualan dan menetapkan harga hasil keluaran mereka.
Kebimbangan lain termasuklah peningkatan hutang yang terpaksa ditanggung peneroka Felda kerana FGV dan Felda Technoplant Sdn Bhd, subsidari yang ditubuhkan pada 2015 bagi menguruskan perladangan yang sudah mengeluarkan buah dan akan ditanam semula.
Kepentingan Felda dalam FGV ialah sebanyak 34%, dan syarikat tersenarai di papan saham awam itu menguruskan 335,000 hektar daripada jumlah keseluruhan tanah Felda sebanyak 850,000 hektar.
Felda perlu membayar jumlah minimum RM3 juta kepada FGV dan mengeluarkan notis 11 bulan sekiranya mahu menamatkan pajakan itu. – 8 Mei, 2017.