Bimbang Ihsan diusir, isterinya merayu dibenarkan melawat dalam lokap
Advertisement
Bimbangkan yang suaminya akan diusir, isteri Ihsan Azlan sudah menulis surat kepada polis meminta kebenaran warga Turki itu dalam lokap, yang ditahan sejak ditangkap pada 4 Mei kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.
Ainnurul Aisyah Yunus, 35, bimbang Ihsan akan diusir ke Turki tanpa bicara, dan berharap akan dibenarkan membawa tiga anaknya ke penjara untuk berjumpa Ihsan.
“Saya bimbang yang suami saya akan diusir ke Turki tanpa menerima perbicaraan yang adil di Malaysia, saya masih terkejut, tiada sebab untuk mereka menahan suami saya.
“Saya akan menghantar surat ke PDRM hari ini untuk meminta kebenaran berjumpa suami saya, saya tidak pasti adakah ia sudah dihantar, tetapi surat itu sepatutnya sudah dihantar hari ini,” kata Ainnurul kepada wartawan semasa sidang media di Ara Damansara, Selangor, hari ini.
Ainnurul terdorong untuk menghantar surat itu apabila dia menghubungi “Inspektor Cawangan Khas” yang bertanggungjawab dalam kes penahanan suaminya Jumaat lepas.
“Inspektor Cawangan Khas itu memberitahu yang saya boleh berjumpa dengan suami saya pada hari Khamis, kerana dia sedang bertugas di luar kawasan pada hari Isnin dan Selasa, Rabu pula hari cuti umum, jadi tarikh terawal ialah Khamis,” katanya sambil menangis.
Dia juga berkata yang dia tidak dipanggil untuk memberikan keterangan walaupun polis menghubunginya selepas penahanan suaminya untuk memaklumkan yang dia sedang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata yang polis akan berjumpa dan mengambil keterangan ahli keluarga suspek.
Ainnurul berkata anak lelaki sulungnya, yang turut hadir dalam sidang media itu, mempunyai autism dan sentiasa resah selepas penahanan ayahnya.
“Dia akan duduk di tepi tingkap setiap malam, menunggu ayahnya balik,” katanya, sambil anak lelakinya yang duduk disebelahnya menjerit memanggil “Ayah”.
Dia berkata yang suaminya mengenali dua lagi warga Turki yang turut ditahan, tetapi mereka tidak rapat.
“Suami saya ada dengar yang dua orang ditahan, tetapi itu sahajalah. Komuniti Turki di Malaysia tidak besar, semua orang mengenali satu sama lain.”
Tiga warga Turki yang dikenali sebagai Ihsan, Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik ditahan pada 3 dan 4 Mei lepas.
Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata yang Turgay dan Ihsan ditahan atas dakwaan mempunyai kaitan dengan IS. – 8 Mei, 2017