Peguam fail semakan kehakiman jika warga Turki masih tidak dibebaskan
Advertisement
PEGUAM mewakili warga Turki, Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik akan memfailkan semakan kehakiman jika polis masih enggan melepaskan anak guam mereka tidak lama lagi.
Rosli Dahlan selepas bertemu kedua-dua anak guamnya berkata, polis memaklumkan mereka ditahan mengikut Seksyen 130 Subseksyen 7 Kanun Keseksaan.
“Kami akan menulis surat kepada pihak berkuasa untuk meminta mereka dilepaskan. Jika ia gagal maka kita akan memfailkan semakan kehakiman di mahkamah untuk menyatakan proses penahanan mereka hanya salah faham,” katanya pada sidang akhbar di depan ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.
Seksyen 130 Kanun Keseksaan menangani aduan penjenayah di mana timbalan pendakwa raya diperlukan.
Rosli berkata polis sepatutnya melepaskan anak guamnya kerana mereka ahli akademik dan tidak ada kaitan dengan IS dan gerakan Organisasi Pengganas Fetullah Gullen (FETO).
“Kami berharap pihak berkuasa Malaysia objektif terhadap perkara ini kerana jika mereka tidak terbabit dengan mana-mana organisasi pengganas, mereka patut dibebaskan.
“Dan jika kehadiran mereka tidak dialu-alukan di sini, mereka patut dibenarkan ke negara lain mengikut pilihan mereka.
“Tetapi mereka tidak mahu dihantar pulang ke Turki kerana menurut Turgay Karaman, ada 50 individu meninggal dunia ketika ditahan di Turki,” katanya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah isteri Turgay, Ayse Gul Karaman yang berkata beliau lega kerana akhirnya dapat bertemu suaminya.
“Saya dapat jumpa dia selama sejam. Keadaannya baik, dia dilayan dengan baik. Saya bersyukur polis membenarkan saya bertemunya,” katanya.
Beberapa jam kemudian, isteri Ihsan Aslan, Ainnurul Aisyah Yunus kelihatan keluar dari Bukit Aman bersama tiga anak mereka.
“Anak gembira, suami saya menangis gembira, sekurang-kurangnya saya tahu dia dalam keadaan baik,” katanya.
Ketika ditanya tindakan undang-undang yang akan diambil peguam suaminya, Ainnurul berkata peguam akan bertemu polis pada Khamis.
Tiga warga Turki, Ihsan Aslan, Turgay dan Ismet ditahan pada 3 dan 4 Mei.
Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata Turgay dan Ihsan ditahan kerana ada kaitan dengan IS. – 9 Mei, 2017.