PH sukar tawan Felda jika biar Dr Mahathir serang Najib sendirian
Advertisement
PAKATAN Harapan (PH) tidak akan berjaya memenangi undi warga Felda jika tidak bergerak lebih agresif dan hanya mengharapkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyerang Najib Razak pada program ceramah.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata kepada The Malaysian Insight apa yang peneroka Felda mahu dengar ialah: bagaimana PH akan membuat kehidupan mereka lebih baik.
“Setakat ini, pembangkang belum benar-benar agresif dan terlalu bergantung kepada faktor Dr Mahathir untuk memberikan penerangan dan menyerang.
“Walaupun penerimaan agak baik, siri menggempur kubu kuat BN perlu digerakkan bagi melumpuhkan legasi Umno,” katanya.
Undi warga Felda yang selama ini dikuasai Barisan Nasional (BN) amat penting kerana menyumbang hampir 15% kepada jumlah pengundi di Malaysia.
Hisomuddin berkata Dr Mahathir menjadi tarikan kerana kebolehan komunikasi politiknya yang sesuai dengan laras bahasa peneroka di kawasan Felda dan mudah difahami.
“Isu serumit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pemborosan Najib Razak dan Rosmah Mansor, salah urus tadbir kerajaan disampaikan dan diolah dalam bahasa mudah difahami dan dihadam.
“Sebahagian mereka yang hadir terus komited dengan mengambil borang keahlian Bersatu sebagai tanda protes kepada BN,” kata Hisomuddin yang turut menyaksikan program Jelajah Semarak Kasih Felda di Johor, Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan sejak awal tahun ini.
Dan walaupun khalayak seronok mendengar ceramahnya, apa yang paling penting ialah isu kehidupan.
Hisomuddin berkata untuk memenangi hati pengundi Felda, PH perlu mengkaji psikologi peneroka dan menggubal tawaran yang mampu memberikan manfaat kepada mereka.
“Pokok permasalahannya ialah pendapatan daripada sara hidup RM1,500 sebulan bagi peneroka yang menyerahkan tanah bagi diselia Felda tidak mencukupi selepas kenaikan harga barang dan harga minyak yang turun naik.
“Jadi, tawaran PH perlu tepat kepada keperluan mereka, mudah difahami dan boleh diyakini,” katanya.
Dapatan ini diperoleh Ilham Centre ketika menjalankan kajian “Persepsi Peneroka Terhadap Isu Berkaitan Felda dan Felda Global Ventures Bhd (FGV)” di lima kawasan penempatan di Pahang iaitu Felda Keratong, Selancar, Chini, Bukit Goh dan Jengka dari 15 Januari hingga 22 Februari, 2017.
Terdapat 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda dan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) hanya memenangi enam iaitu Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Katanya, sokongan peneroka Felda untuk BN ialah 63% di Pahang dan hampir 90% di Johor.
“Hanya di Kelantan, sokongan 59% di peringkat Parlimen dan 58% di peringkat negeri,” katanya.
Pandangan Hisomuddin turut dikongsi Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Prof Dr Redzuan Othman yang berkata berdasarkan pemerhatiannya, PH sukar menawan undi Felda jika hanya mengharapkan Dr Mahathir.
“Orang Felda ni kesetiaan dia pada Umno dan bukannya tokoh. Warga Felda generasi pertama, kedua dan ketiga kalau tinggal di Felda biasanya setia kepada Umno, kecuali jika tinggal di luar Felda.
“Lagipun Dr Mahathir bukan ‘orator’ berkarisma seperti Soekarno. Ramai datang dengar ceramah dia di kawasan Felda mungkin kerana sekadar ingin tahu, tambahan lagi beliau ialah bekas perdana menteri Malaysia selama 22 tahun,” katanya.
Faktor Dr Mahathir
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman sebaliknya mempertahankan “faktor Dr Mahathir” dalam menembusi kubu kuat Umno di Felda.
“Setiap siri program yang kami adakan di Felda kini dihadiri sekurang-kurangnya 1,500 hingga 3,000 orang. Tidak dapat dinafikan ramai peneroka dan warga Felda datang kerana Dr Mahathir.
“Saya perlu akui aura Tun masih cukup besar dan mendorong minat warga Felda,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight merujuk kepada program Jelajah Semarak Kasih Felda anjuran bersama Anak dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mahu warga Felda menyokong BN dan mengembalikan enam kerusi Parlimen yang terlepas kepada pembangkang pada PRU13. – 10 Mei, 2017.