Mampukah Pakatan Harapan tawan Johor
Advertisement
PADA dasarnya kelihatan seperti 11 kerusi Parlimen dan satu pertiga daripada 56 kerusi DUN Barisan Nasional (BN) di kubu kuatnya di Johor dapat menumbangkan pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Kerusi itu dimenangi dengan majoriti sedikit iaitu bawah 3,000 undi dan hanya memerlukan 10% undi marginal daripada BN untuk Pakatan Harapan (PH) menawan kerusi tersebut.
Di Johor, PH memerlukan sekurang-kurangnya 12 lagi kerusi DUN untuk mencukupkan 17 sedia ada untuk menakluki kerajaan negeri itu.
Bagaimanapun, untuk merealisasikannya PH perlu bekerja keras memulihkan sokongan dan kepercayaan penyokong terhadap Melayu di Johor supaya mereka dapat ditadbir kedua-duanya iaitu Umno sebagai kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang dipimpin PH di Putrajaya.
Situasi ini sebegini menarik perhatian pemimpin PH, Liew Chin Thong dan Shukur Mohamad dalam meneliti bagaimana untuk menawan penyokong BN yang kecewa beralih arah kepada PH.
“Terdapat peluang kuat 13 kerusi Parlimen akan jatuh di tangan PH tetapi ia juga bergantung kepada kami (PH) sama ada kami mampu mengekalkan jumlah sokongan kaum Melayu terhadap PH seperti PRU 2013, begitu juga kaum Melayu di Johor.
“Tetapi, ia hanya akan diketahui apabila PRU diumumkan,” kata ahli Parlimen Kluang itu kepada The Malaysian Insight.
Luar bandar tetapi bukan terpencil
Liew berkata 11 kerusi Parlimen itu di kawasan barat Johor di mana BN memenangi kira-kira 55% atau kurang berbanding jumlah keseluruhan. Dalam erti kata lain, terdapat kerusi BN menang dengan undi majoriti 10,000 atau kurang.
Pemimpin DAP itu berkata kerusi itu merangkumi utara dan selatan Johor, iaitu di utara – Pasir Gudang, Pulai, Tebrau, Tanjong Piai dan Johor Baru sementara Labis, Segamat, Ledang, Muar, Sekijang dan Pagoh bagi di selatan Johor.
Sementara itu, kerusi berdekatan sempadan Melaka seperti Labis (menang majoriti 353 undi), Segamat (1,217 undi). Di selatan Johor seperti di Pasir Gudang (935) dan Tebrau (1767).
Di Serom majoritinya 2,264, Pemanis (1,329), Kemelah (2,260), Tenang (1,586), Senggarang (2,083) dan Gambir (310).
Liew berkata hampir semua kawasan ini merupakan kawasan separa bandar.
Tetapi, kampung ini jaraknya dengan bandar utama seperti Batu Pahat, Muar, Kluang dan Segamat hanya 20 minit.
Ini menunjukkan pengundi mereka memperoleh sumber maklumat alternatif berhubung perkembangan isu semasa yang membuatkan mereka tidak terkecuali daripada bersuara mengenai isu seperti kenaikan kos sara hidup, pengangguran, salah laku pentadbiran dan korupsi.
“Kerusi ini juga terdiri daripada pengundi muda yang bekerja di bandar besar seperti Johor Baru, Melaka dan Lembah Klang,” katanya.
Katanya, jumlah ini merangkumi 30% daripada pengundi kawasan tersebut.
Sokongan berbelah bahagi
Tinjauan The Malaysian Insight di beberapa kawasan terjejas seperti di Labis dan Segamat mendapati kebanyakan anak muda di situ menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan BN – Menteri Besar Khaled Nordin meskipun merasakan beliau perlu bekerja keras lagi untuk kebajikan rakyatnya.
Bagaimanapun, mereka tidak gembira dengan pentadbiran kerajaan persekutuan yang dilabelkan bermasalah dalam mentadbir negara terutamanya daripada segi ekonomi seperti, cukai barangan dan perkhidmatan, mata wang ringgit yang merudum dan harga barang melonjak naik.
Mereka yang berumur lingkungan 25 hingga 35 tahun merasakan keperluan rakyat seperti harga barang yang kian meningkat, harga perumahan melambung tinggi serta peluang pekerjaan terhad di negeri itu perlu diperbaiki.
Hakim Azman, 26, memuji pentadbiran Khaled yang dikatakan peduli kepentingan dan kemudahan rakyatnya tetapi tidak pasti mengenai kerajaan pusat.
“Menteri besar bagus, saya nampak kerajaan negeri menyediakan jalan bagi kemudahan orang ramai contohnya mereka dari Muadzam (Pahang) boleh datang terus ke Labis. Ini dapat tingkatkan ekonomi negeri.
“Tapi Najib tidak, kerana apabila dia mengendalikan negara, ekonomi menjadi semakin teruk ditambah dengan bebanan cukai dan susut nilai mata wang ringgit,” kata peniaga buah-buahan itu.
Shukur Mohamad pemimpin Bersatu dari Sri Gading yang merupakan bekas ahli Umno berkata kumpulan pengundi muda membentuk dua pertiga daripada jumlah keseluruhan, manakala selebihnya pengundi berusia 50 tahun ke atas yang kebanyakannya penyokong BN.
Katanya, ramai anak muda di negeri itu berfikiran seperti Hakim yang berkata mereka suka kerajaan negeri sekarang tetapi tidak pimpinan di peringkat persekutuan.
“Jadi mereka beritahu, untuk Johor mereka ingin mengundi Umno tetapi PH bagi kerajaan pusat,” katanya.
Kecewa dengan pembangkang
Sentimen ini memberi cabaran terhadap pembangkang yang memegang 17 kerusi DUN di negeri itu yang dimenangi pada PRU13.
Hakim berkata beliau berpuas hati dengan prestasi BN di negeri Itu kerana wakil rakyat seperti Adun Tenang Mohd Azahar Ibrahim dan Ahli parlimen Labis Chua Tee Yong mengambil peduli kawasan mereka.
Ini berbeza dengan sikap pembangkang yang disifatkan seperti tidak prihatin dengan keadaan kawasan mereka.
Liew berkata masalah lain yang dilihat adalah kekecewaan dirasai penyokong pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Kuala Kangsar.
PH tewas dalam kedua-dua pilihan raya itu apabila DAP hilang kerusi yang pernah dimenangi di Sarawak.
Liew dan Shukur mengakui melalui senario itu pembangkang perlu melipatgandakan usaha untuk menawan Johor selain bergantung kepada salah laku Najib Razak.
“Pembangkang perlu bekerja keras untuk menyingkirkan Najib. Kita memerlukan satu agenda yang boleh dipercayai rakyat Johor.
“Kita perlu seseorang yang boleh menandingi Khaled,” katanya. – 12 Mei, 2017.