Isteri Ihsan Azlan tidak tahu suaminya diusir semalam
Advertisement
WARGA Turki Ihsan Azlan diusir Polis Diraja Malaysia semalam, tetapi isterinya hanya mengetahui tentang pengusiran itu daripada wartawan selepas pengusiran.
“Saya tidak tahu mengenai pengusiran itu, saya hanya tahu pagi ini apabila seorang wartawan menelefon saya,” Ainnurul Aisyah Yunus, 35 tahun memberitahu wartawan di Publika Shopping Gallery petang ini.
Menurut Ainnurul, suaminya sudah menetap di sini sejak 2001, dan mempunyai visa pasangan yang sah, walaupun dia bukanlah Penduduk Tetap. Mereka sudah berkahwin sejak 2003.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar melalui Twitter sekitar jam 11 pagi mengumumkan yang tiga warga Turki itu – Turgay Karaman, Ihsan Azlan dan Izmet Ozcelik – semuanya diusir ke Ankara semalam.
Dalam kenyataan selepas itu, Khalid berkata yang ketiga-tiga mereka dikaitkan dengan Organisasi Pengganas Fethullah (FETO) yang diharamkan kerajaan Turki dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Kami berjumpanya sekitar jam 3 hingga 4 petang (semalam), dan saya mengetahui mengenainya dari seorang wartawan dalam jam 11 pagi, dan (disahkan) melalui tweet KPN.
Ainnurul berkata yang suaminya berasal dari Manisa, Turki dan dia juga mengesahkan ketibaan suaminya di Ankara melalui bapa mertuanya hari ini.
“Saya menerima panggilan daripada bapa mertua saya, dia menyebut yang suami saya sudah berada di Ankara dan hanya itu yang saya tahu,” katanya.
Walaupun menangis, Ainnurul berjaya mengekalkan kekuatannya dan memberitahu wartawan yang dia sebenarnya merancang berjumpa suaminya minggu depan.
“Saya tak jangka langsung perkara ini berlaku… kami baru berjumpa semalam dan semuanya nampak baik-baik sahaja.
“Dia merasakan yang dia akan dibebaskan tidak lama lagi, kami juga merancang untuk bertemu minggu depan, kami tak tahu,” katanya sambil menangis.
Sebelum sebak dipenuhi emosi, Ainnurul menambah yang dia akan kekal berada di sini untuk menjaga anak-anaknya dan perniagaan keluarganya serta akan terus berjuang untuk suaminya kembali.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah peguamnnya Noor Svetlane Mohd Nood Nordin yang berkata dia dan Ainnurul baru sahaja pulang dari Bukit Aman untuk mengambil barang-barang Ihsan.
“Hari ini kami bertemu dengan pegawai penyiasat di Bukit Aman untuk mendapatkan barangan Ihsan, kebanyakkan barangannya sudah dikembalikan, tetapi ada beberapa barang yang tidak dikembalikan.
Dia bagaimanapun enggan menyatakan barangan yang tidak dikembalikan kerana siasatan polis masih berjalan.
Juga berada di sana ialah wakil keluarga Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik yang meninggalkan kenyataan media sebelum tergesa-gesa beredar.
Sebelum dia beredar, dia menjelaskan yang keluarga Turgay dan Ismet Ozcelik dalam ketakutan sekarang dan enggan bercakap dengan media.
Kenyataan yang ditinggalkan wakil keluarga itu menyebut yang keluarga Ismet Ozcelik dan Turgay Karaman mendesak penjelasan mengapa pengusiran Ismet dan Turgay dibenarkan.
Dikatakan yang Ismet dan Turgay mempunyai pas yang sah dan tanpa prosedur pembatalan sewajarnya adalah tidak sah untuk mengusir mereka.
“Tambahan pula, mereka ialah orang yang berada di bawah perlindungan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR).
“Selaku mereka yang dilindungi, Malaysia mempunyai tanggungjawab bagi memastikan mereka tidak dihantar pulang ke negara yang mereka berdepan risiko penahanan tanpa bicara dan seksaan,” tulis kenyataan itu.
Ketiga-tiga lelaki warga Turki itu, yang ditahan kerana dakwaan ada kaitan dengan keganasan, di usir ke Ankara malam semalam, yang disahkan menerusi tweet Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pagi ini.
Mereka ditahan oleh polis anti keganasan Malaysia di tiga lokasi berbeza di sekitar Kuala Lumpur pada 2 dan 4 Mei lepas.
Menurut Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, mereka bertiga mempunyai kaitan dengan Organisasi Pengganas Fethullah (Feto).
Tambah Khalid lagi, Feto sudah diharamkan di Turki dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pemimpin Turki Reccip Erdogan menuduh Fethullah Gulen yang berpengkalan di Amerika Syarikat sebagai pihak bertanggungjawab mendalangi cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai tahun lepas di negara itu. – 12 Mei, 2017.