Advertisement

Saya akan terus bertanding di Lembah Pantai, kata Nurul Izzah

Amin IskandarLow Han Shaun7 years ago14th May 2017News
Nurul izzah petaling jaya tmikamal 02
Nurul Izzah Anwar ditemui di Ceramah Selamatkan Malaysia malam ini mengatakan dia akan pertahankan kerusi Lembah Pantai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Mei, 2017.
Advertisement

Nurul Izzah Anwar merancang mempertahankan kerusinya di Lembah Pantai dan berdepan dengan PAS dan Umno dalam PRU 14 walaupun keputusan pilihan raya lepas menunjukkan pertembungan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Penyandang kerusi Lembah Pantai selama dua penggal itu berkata yang dia ialah penyandang kerusi tersebut dan logik akalnya dia akan mempertahankannya, yang dimenanginya dengan majoriti tipis 1,847 undi pada 2013.

Tetapi naib presiden PKR itu menyerahkan keputusan untuk bertanding di kawasan lain sekiranya ada arahan daripada parti.

“Saya akan bertanding di Lembah Pantai. Saya penyandang kerusi sudah pasti saya mahu kekal,”

“Akan tetapi saya akan mengikut keputusan ditentukan oleh kepimpinan parti.” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight sebelum bermulanya program “Ceramah Selamatkan Malaysia: Hapuskan Kleptokrat, Martabatkan Rakyat!” anjuran Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya malam ini.

PAS Wilayah Persekutuan hari ini menyambut baik keputusan memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan mengatakan bakal bertanding 9 kerusi Parlimen.

“PAS WP membuat keputusan untuk bertanding sembilan kerusi Parlimen dalam PRU 14 yang akan datang.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan kemampuan jentera dan kehendak pengundi yang mahukan dan mengharapkan PAS sebagai parti yang mampu memperjuangkan agenda rakyat dan masyarakat berbilang kaum dan agama,” kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad dalam satu kenyataan disiarkan di portal Harakahdaily hari ini.

Kerusi Parlimen yang bakal ditandingi PAS di Wilayah Persekutuan ialah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

Kerusi Lembah Pantai dan Batu sekarang ini disandang Nurul Izzah dan seorang lagi Naib Presiden PKR Chua Tian Chang. Sementara kerusi Wangsa Maju disandang Dr Tan Kee Kwong dari PKR.

Bandar Tun Razak pula diwakili bekas menteri besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dan Segambut Lim Lip Eng (DAP).

PAS hari ini juga mengumumkan bakal bertanding 100 kerusi Parlimen pada PRU14 akan datang.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, berkata daripada jumlah itu mereka menjangkakan 40 kerusi adalah “mudah menang” manakala selebihnya “perlu diusahakan dengan lebih gigih”.

“Kita mungkin akan meletakkan lebih 100 kerusi yang akan dipertandingkan, cuma 40 itu kita sasarkan menang dan mudah menang.

“Di samping itu, kita perlu menang lebih lagi antara 60 hingga 80 kerusi ke atas berdasarkan kerja kuat jentera parti,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini hari ini.  – 14 Mei, 2017.

Advertisement
Advertisement