Tradisi keluarga terputus, longgarkan cengkaman Umno di Johor
Advertisement
SEHINGGA setahun lalu, Shukur Mohamad masih meneruskan perjuangan mempertahankan tradisi keluarga.
Datuknya Aziz pernah berkhidmat dengan bekas menteri besar Johor dan pengasas Umno, Onn Jaafar sebelum ia ditubuhkan pada 1940an.
Bapanya Mohamad adalah timbalan pengerusi tetap Umno dan memegang jawatan sebagai ahli Parlimen Sri Gading selama tiga penggal sebelum dilantik menjadi speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Bagaimanapun, setahun lalu Shukur meninggalkan Umno dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ramai mengikut jalan yang sama, beralih arah daripada parti pemerintah kepada Bersatu dan ini menimbulkan rasa tidak senang Umno.
Berbanding negeri lain, terlibat dalam politik Umno adalah tradisi keluarga dan ia sebab besar mengapa parti itu tertanam kukuh dan kebal di Johor. Sehinggalah kini.
Di mana-mana sahaja di Johor, orang seperti Shukur sedang memutuskan tradisi suci mengikut apa yang lihat demi matlamat dan parti lebih baik.
“Umno parti paling tua mentadbir. Jadi seperti keadaan orang tua yang sudah berumur 71 tahun, menghidap pelbagai penyakit dan perlu berehat serta berhenti dengan secara terhormat,” katanya.
Tradisi Keluarga
Perpecahan Umno Johor kali ini merupakan perpecahan kali pertama dihadapi kubu kuat Umno itu, kata ketua DAP Johor Liew Chin Tong.
Liew berkata perpecahan Umno di Johor yang berpindah kepada Bersatu itu tidak dapat dilihat di negeri lain meskipun ketika wujudnya parti serpihan Umno Semangat 46 yang ditubuhkan Tengku Razaleigh bersama Rais Yatim, dan pergerakan Reformasi pada 1998 yang dilaksanakan Anwar Ibrahim, sebaik sahaja beliau dilucutkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
“Perpecahan kali ini merupakan sebab utama ramai yang menjangkakan kubu Barisan Nasional (BN) di Johor akan tumbang kerana sokongan diraih Umno sebelum ini beralih kepada Bersatu,” kata ahli Parlimen Kluang itu.
Menurut sumber dalaman Umno kepada The Malaysian Insight yang juga aktivis parti berkata, kebanyakan pemimpin Bersatu terdiri daripada bekas pemimpin Umno seperti Shukur dan Mazlan Bujang.
Mazlan adalah naib ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian Umno Pulai sebelum menyertai Bersatu sebagai bendahari Johor Bersatu. Abangnya, Maulizan exco pelajaran negeri Johor, ketua Umno bahagian Tebrau dan Adun Tiram.
Bahagian Bersatu lain yang dipimpin bekas ketua bahagian Umno termasuklah Johor Baru, Pulai, Gelang Patah, Pontian, Mersing, Labis, Kluang dan Kulai.
Kekecewaan dan penerimaan keluarga
Ketirisan wang dan salah laku dalam pimpinan Umno menjadi faktor utama mengapa Mazlan dan Shukur meninggalkan parti yang mempunyai 2.7 juta ahli tersebut sehingga sanggup menghabiskan tenaga dan wang sendiri demi Bersatu.
“Ketirisan wang terlampau ketara. Di negara lain, jika perdana menteri melakukan sedemikian dan tidak mampu mentadbir negara, pemimpin mereka akan dilucutkan serta merta, tapi tidak di sini.
“Saya dengan prinsip saya. Sampai bila kita nak bersekongkol dengan orang yang menganiaya rakyat?” soal Mazlan.
Keputusan drastik meninggalkan Umno mengecewakan keluarga Shukur dan Mazlan kerana ia dianggap meninggalkan perjuangan datuk nenek yang bersusah payah memerdekakan negara.
Namun, ibarat air dicincang tidak akan putus, hubungan keluarga tetap utuh meskipun mengamalkan perbezaan ideologi politik.
“Bapa saya paling kecewa sebab kami daripada keluarga Umno. Ramai kecewa dengan keputusan saya tetapi itu cuma peringkat awal. Itu keputusan saya. Dia kecewa sebab bersama Umno hampir 50 tahun dan kemudian saya meninggalkan perjuangan datuk nenek saya,” kata Shukur.
Bagi Shukur, majoriti generasi saluran pertama menyokong Umno kerana berasa terhutang budi dengan parti itu.
Shukur pula berpendapat, beliau juga bertanggungjawab memberi sokongan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika diperlukan.
“Walaupun daripada keluarga Umno, saya tahu mana hendak dipilih kerana bukan budak kecil. Saya terhutang budi dengan Tun (Dr Mahathir) dan saya rasa wajib bersama beliau kerana pernah memberi kesenangan kepada saya suatu masa dahulu,” katanya.
Mazlan pula berkata, pentadbiran Najib sangat berbeza berbanding Dr Mahathir, pendidikan dan kesihatan percuma diutamakan tetapi sebaliknya ketika pentadbiran Najib Razak, yang kini dilihat tidak mendahulukan kebajikan rakyat.
Tambahnya, ini dapat dilihat dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April 2015 yang menambah beban rakyat.
“Keluarga kami tidak sentuh hal politik. Biarlah dia (bapa) dengan prinsipnya dan saya dengan cara saya.
“Emak saya memang tidak bersetuju saya keluar Umno pada mulanya, tapi saya sudah jelaskan kepada emak yang keluarga kami susah, kalau tiada siapa membela nasib kita, siapa lagi?
“Kita bukan dilahirkan daripada keluarga bangsawan seperti Najib dan Hishammuddin (Hussein). Sepatutnya kita daripada golongan susah ini dapat berasa lebih empati berbanding mereka,” kata Mazlan yang juga jurutera mekanikal.
Walaupun merelakan pemilihan adiknya, Maulizan masih mengharapkan Mazlan kembali kepada Umno.
“Itu pilihan dia. Saya hanya boleh melihat dan harap suatu hari nanti dia akan berfikir semula kerana daripada apa yang saya lihat, dia membuat pilihan itu kerana marah dengan pemimpin tertentu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dilema pilihan raya
Politik merupakan sesuatu yang tabu bagi Shukur dan Mazlan apabila bertemu keluarga Umno mereka kerana pada masa yang sama perlu menjaga hubungan silaturrahim sesama mereka.
“Saya masih berjumpa dengan abang seperti biasa tetapi tidak menyentuh hal politik,” kata Mazlan.
Namun, mereka dalam dilema tentang bagaimana berdepan keluarga ketika kempen pilhan raya umum nanti.
Ini memandangkan mereka berkempen di kawasan ahli keluarga masing-masing. Ibu tiri Shukur merupakan Adun Parit Raja Azizah Zakaria dan Mazlan pula di kawasan Tebrau, di mana ketua bahagian kawasan itu merupakan kawasan abangnya.
Separuh daripada lebih 2,000 ahli Bersatu di bahagian Tebrau merupakan ahli Umno di kawasan abangnya.
Jelas Mazlan, tujuan menyertai Bersatu bukan untuk menentang abangnya tetapi kerana ingin mengutarakan isu nasional dan mengakui abangnya di antara wakil rakyat yang bagus di Johor. – 15 Mei, 2017.