Advertisement

Exco PAS harus tinggalkan kerajaan Selangor, kata Dr Mahathir

Amin IskandarLow Han Shaun7 years ago15th May 2017News
Advertisement

DR Mahathir Mohamad mengatakan ketiga-tiga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Selangor daripada PAS harus meletakkan jawatan selepas parti Islam itu memutuskan hubungan dengan PKR.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan exco PAS masih kekal kerana mereka tidak mahu kehilangan “wang” daripada kerajaan negeri Selangor.

“Mereka suka wang yang mereka dapat, mereka tak mahu kehilangannya,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas program “Ceramah Selamatkan Malaysia: Hapuskan Kleptokrat, Martabatkan Rakyat!” anjuran Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Dr Mahathir mengulangi kenyataannya sebelum ini yang PAS bekerja untuk memenangkan Barisan Nasional (BN).

“Dia cuba nak memecahbelahkan pembangkang supaya BN dapat menang.

“PAS bila bertanding sendirian akan kalah. Bila bekerjasama dengan DAP, kita dapati ia menang lebih banyak kerusi,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata, PH masih belum membuat rundingan berhubung kerusi yang bakal ditandingi Bersatu, PKR, DAP dan Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Dr Mahathir dalam tulisan di blog popularnya chedet.cc minggu lalu mengatakan mana-mana parti yang cuba memecahkan undi pembangkang adalah penyokong perdana menteri Najib.

Sementara Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, pada 2015, ketika PAS membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, beliau meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Apabila diterima tanpa bahas (putus hubungan dengan DAP) saya umumkan secara serta merta untuk letak jawatan daripada PBAPP.

Presiden Amanah Mohamad Sabu menggesa exco PAS Selangor mencontohi tindakannya melepaskan jawatan dalam lembaga pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang pada 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mei, 2017.

“Secara moral saya letak jawatan kerana Pulau Pinang di bawah DAP, tetapi lihatlah PAS mereka umum putus hubungan dengan semua parti tetapi masih kekal dalam Selangor,” katanya yang merupakan timbalan presiden PAS ketika itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam ucapannya berkata, kerajaan baharu PH akan memastikan semua individu yang terlibat dengan rasuah akan dipenjarakan.

“Semua orang yang terlibat dengan rasuah akan masuk penjara, termasuk Najib Razak akan masuk penjara,” katanya.

Beliau yang juga naib presiden PKR turut berkata kerajaan PH akan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika menang PRU14.

“Kami dalam PH akan mereformasikan negara supaya rakyat Malaysia boleh hidup tanpa GST,” katanya.

Turut menyampaikan ucapan dalam program pada malam tadi ialah Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani dan Senator Siti Aishah Shaik Ismail.

Minggu lalu, PAS mengumumkan keputusan menamatkan hubungan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR yang sudah terjalin sejak 1999.

Beberapa hadirin ditemui The Malaysian Insight mengatakan mereka akan terus menyokong PH di sebalik apa yang sudah berlaku.

Lee, 57, merasakan pembangkang masih lagi kuat walaupun putus hubungan dengan PAS.

“Saya fikir jika Dr Mahathir dan Nurul Izzah boleh ketepikan perbezaan dan bekerjasama, semuanya mungkin dalam pembangkang,” katanya.

Abdul Samat Samsuddin, 63, yang hadir bersama keluarganya mengatakan beliau semakin bersemangat selepas mendengar ceramah.

“Apa yang berlaku di antara Dr Mahathir dan Nurul Izzah ialah masa lalu, secara peribadinya saya tak kisah dengan masalah mereka sebelum ini, jika mereka boleh ketepikan perbezaan, saya pun boleh,” katanya. – 15 Mei, 2017.

Program ‘Ceramah Selamatkan Malaysia: Hapuskan Kleptokrat, Martabatkan Rakyat!’ di Petaling Jaya, Selangor malam tadi turut dihadiri Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (kiri). – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mei, 2017.

 

 



 

Advertisement
Advertisement