Advertisement

Perlawanan tiga penjuru ‘mungkin’ untungkan BN, kata Khairy

Amin Iskandar7 years ago15th May 2017News
Khairy jamaluddin tmi nazirsufari 471
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menegaskan partinya sentiasa bersedia berdepan situasi ‘satu lawan satu’ dan jika situasi sebaliknya berlaku, ia dianggap satu kelebihan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Mei, 2017.
Advertisement

PERTEMBUNGAN tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang “mungkin” akan menguntungkan Barisan Nasional (BN), kata Khairy Jamaluddin.

Ketua Pemuda Umno itu bagaimanapun berkata, setakat ini Pemuda BN hanya bersiap sedia berdepan situasi “satu lawan satu”.

“Tiga penjuru itu ‘kemungkinan besar’ terjadi berdasarkan kepada Sungai Besar menguntungkan kita, sebab yang pecah adalah pihak mereka,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

“Bagi saya itu bukanlah simulasi yang perlu jalankan, sebab ia akan memberikan gambaran salah. Kita kena anggap semua kerusi ‘satu lawan satu’.”

Menteri belia dan sukan itu mengulas kemungkinan berlaku pertembungan pada PRU14 selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR minggu lalu.

Semalam PAS mengatakan mereka mensasarkan bertanding 100 kerusi Parlimen pada PRU14 akan datang.

Khairy berkata, BN bersedia berdepan pertembungan tiga penjuru di seluruh negara jika ia benar-benar berlaku.

Ketika ditanya apakah BN mampu mendapatkan kembali majoriti dua pertiga sekiranya pertembungan tiga penjuru berlaku di seluruh negara pada PRU14, Khairy enggan mengulas.

Mengenai kerjasama politik dengan PAS, beliau berkata ia perlu diperhalusi secara mendalam.

“Kalau asas kerjasama itu untuk kita terus berjuang bersama dalam su besar negara yang ada kaitan dengan orang Melayu, agama Islam tiada masalah.

“Dan juga tidak menjejaskan hubungan kita dengan kaum lain, rakan dalam BN, saya rasa kita boleh bincang dan terokai cadangan tersebut,” katanya.

Khairy berkata, yang menjadi keutamaan kepadanya ialah hubungan di antara parti di dalam BN.

“Kita tidak mahu, sebarang kerjasama dengan PAS walaupun dianggap positif tetapi menjejaskan hubungan dengan rakan dalam BN,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Belia Negara 2017 di Putrajaya hari ini.

PAS minggu lalu secara rasminya memutuskan hubungan dengan PKR. Bagaimanapun setakat ini, tiga wakil rakyat mereka masih kekal sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Selangor. – 15 Mei, 2017.

Advertisement
Advertisement